Pages

Saturday 3 August 2013

Pelanggan Yang Mencabar Kewarasan

Ada yang berkata, menjadi perunding itu mudah dan mengembirakan. Malahan boleh menjadi kaya. Hmmm... mungkin jika mereka menjadi perunding, mereka akan menarik kembali kata-kata itu.


Sepanjang 10 tahun menjadi perunding, saya telah melalui semuanya. Ya, sebahagian dari pandangan diatas ada kebenarannya, tetapi apabila menghadapi sebahagian lagi keadaan yang kurang menggembirakan, membuat saya bertanya kembali kepada diri "Kenapalah aku jadi perunding."

Pelanggan. Siapa pelanggan? Jika di kedai, pelanggan adalah mereka yang membeli produk. Dalam kontek sebagai perunding, pelanggan kami adalah pemilik-pemilik bisnes kecil dan sederhana, yang membeli perkhidmatan kami - perkhidmatan untuk membangunkan bisnes francais mereka.


Pelbagai situasi pahit dan manis saya lalui. Tetapi yang paling tidak dapat saya lupakan sehingga hari ini, pengalaman bersama 2 pelanggan bergelar Dato' dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat.



Pelanggan #1:

  1. Pelanggan ini merupakan seorang Dato' dan memiliki syarikat yang tersenarai di Papan Kedua Bursa Malaysia (ketika itu). Syarikat beliau bersetuju untuk mendapat khidmat saya bagi membangunkan konsep francais mereka - konsep restoran makanan timur tengah.
  2. Perjanjian telah dibuat untuk mengekalkan khidmat saya selama sekurang-kurangnya 36 bulan sehingga rangkaian francais mereka mantap.
  3. Setelah 6 bulan membangunkan konsep dan melengkapkan dokumentasi francais, saya menerima surat yang meminta agar saya melepaskan semua tanggungjawab dan menarik diri secara sukarela dari projek tersebut. Tiada alasan yang diberi.
  4. Mereka juga hanya bersedia untuk membayar tidak sampai 10% dari jumlah fi yang sepatutnya dibayar. Sekiranya saya enggan menarik diri dan melepas tanggungjawab serta menuntut dari mereka, saya diberitahu mereka sanggup ke mahkamah untuk menentang (kerana mereka mempunyai sumber kewangan dan barisan peguam syarikat).
  5. Setelah 2 bulan saya meninggalkan syarikat berhad ini, saya mendapat tahu dari kenalan yang bekerja disana, dengan konsep dan dokumen francais yang telah saya lengkapkan, Dato' bercadang untuk membangunkan program francais mereka secara sendiri / menggunakan kakitangan dalaman, jadi dapatlah mereka menjimatkan kos dan tidak perlu membayar perunding walaupun telah membuat perjanjian.
  6. Selepas setahun, beroperasi, program francais mereka sehingga ke hari ini masih tidak berjalan, tiada francaisi.Outlet sendiri juga kebanyakannya telah ditutup, berita yang paling meriah saya diberitahu, syarikat berhad Dato' tersebut terpaksa dijual kepada bangsa asing kerana kekurangan modal.


Pelanggan #2

  1. Pelanggan ini juga seorang yang mempunyai gelaran Dato' (dari Pahang). Berbeza dengan Dato' diatas, Dato' ini boleh dikatakan seorang yang 'sengkek'. Tetapi disebabkan hubungan baik beliau dengan ahli-ahli politik, beliau sentiasa mendapat peluang untuk membuat duit dari pihak lain (termasuk saya).
  2. Ketika mula-mula bertemu, Dato' ini telah menceritakan masalah beliau yang kononnya difitnah, dan ditipu oleh orang-orang yang pernah ditolongnya.
  3. Yang lebih menarik, beliau juga bijak menggunakan ayat-ayat agama, dan mengaku diri beliau seorang hafiz Al-Quran.
  4. Apabila bertemu saya, beliau sering membuat muka sedih dan cerita sedih, kesusahan beliau untuk memulakan bisnes sendiri setelah dibuang kerja, ditipu dan difitnah oleh 'rakan-rakan' beliau.
  5. Kerana ingin bersangka baik dan menghormati seorang yang mempunyai kelebihan agama seperti Dato' ini, maka saya telah menghabiskan masa selama hampir 6 bulan untuk membangunkan sebuah konsep francais untuk beliau, dan membantu menyediakan kertas permohonan bagi mendapat pinjaman tunai dari MARA sebanyak RM450,000.
  6. Setelah mendapat lesen sebagai francaisor dan pinjaman dari MARA yang dikreditkan terus ke akaun beliau, saya cuba menghubungi beliau, dengan harapan beliau akan membayar semula kos perundingan saya seperti yang dipersetujui sebelum ini (sepanjang proses membangunkan dan mendapatkan lesen francais, saya tidak mengutip sebarang fi dari Dato' ini sebab kasihankan kesulitan yang sedang dihadapinya).
  7. Setelah beberapa kali berdolak dalik, akhir beliau terpaksa bersetuju bertemu saya di pejabatnya, dan dengan hati yang gembira saya menghulurkan invois dengan harapan akan mendapat sedikit bayaran walaupun tidak sepenuhnya.
  8. Sebaik saja mendapat invois, Dato'  ini memaklumkan kepada saya buat masa ini beliau tidak cukup duit untuk membayar saya, kerana perlu menggunakan wang membangunkan bisnes lain yang dirancangnya, dan bukan bisnes francais.
  9. Jika saya ingin terus menuntut pembayaran, beliau mencabar saya menghantar surat peguam, dan beliau sanggup ke mahkamah untuk menentang saya (rasanya dia tiada masalah untuk mencari peguam, sebab rakan kongsi beliau adalah seorang peguam).
  10. Sehingga ke hari ini saya tidak mendengar berita lagi tentang Dato' ini. Begitu juga bisnes yang ingin dijalankan dan hutang beliau dengan MARA. Saya tidak pasti sama ada beliau membayar semula hutang beliau kepada MARA atau sebaliknya, kerana beliau pernah menimbangkan untuk meminta tolong dari rakan-rakan politik beliau agar hutang tersebut ditukar kepada geran dan beliau tidak perlu bertanggungjawab terhadap hutang tersebut.
  11. Memikirkan kembali Dato' ini seorang yang pandai mengampu orang-orang politik dan 'menjual' kebolehan beliau sebagai seorang hafiz Al-Quran, saya tidak terkejut jika beliau dapat melepaskan diri dari mana-mana situasi dan sesiapa juga.


Moral cerita diatas (pengajaran untuk diri saya):

  1. Jangan mudah percaya kepada orang-orang yang mempunyai kedudukan dan status;
  2. Tidak mustahil dalam dunia ini ada manusia yang sanggup menjual agama, dan bersifat munafik semata-mata untuk mendapatkan kepentingan diri dan kekayaaan dunia;
  3. Walaupun pernah ditipu, saya perlu tetap berbaik sangka dan memberi khidmat secara jujur, ikhlas dan bertanggungjawab (mungkin perlu lebih berhati-hati);
  4. Menilaikan semula prosedur standard operasi saya (SOP) sebagai perunding;
  5. Sentiasa redha dengan ketentuan Allah apabila berurusan dengan pelanggan. 



P/S: Anda tidak semestinya boleh jadi kaya dengan menjadi perunding, tetapi yang pasti anda boleh hidup dengan selesa  :)

No comments:

Post a Comment